Uncategorized

Berlari aku dlm hospital. Aku selak langsir, doktor sedang bt CPR. Terus Aku azan dlm wad, ramai menitiskan airmata

Sila baca dibawah ini untuk maklumat penuh dan lengkap bagi artikel ini. Terima kasih kerana membaca artikel kami ini. Mohon kongsi jika bermanafaat dan mohon maaf jika ada tersilap dan salah.

Assalamualaikum, terlebih dahulu biarlah aku memperkenalkan diri terlebih dahulu. Nama aku, Khamis dan aku mempunyai 6 adik beradik. Dan sekarang ini, adik beradik aku tinggal 4 orang sahaja dimana 2 daripadanya sudah mennggal dunia dan kedua duanya adalah perempuan.

Aku ada kisah suka dan duka yang hendak diceritakan tentang 2 orang bidadari yang telah meninggalkan kami semua. Tetapi untuk hari ini, aku ingin menceritakan perihal seorang bidadari yang bagi aku tersangatlah istimewa di mata orang yang mengenalinya.

Pada hari khamis tanggal 28 Julai 2016, aku bersekolah seperti biasa. Berseronok bersama rakan rakan, belajar, dan sebagainya. Tepat pada pukul 12;35 tengah hari, aku berada di makmal kimia di mana pada waktu itu aku sedang buat eksperimen di makmal tersebut.

Tiba tiba, ada seorang junior aku mengetuk pintu dan memberi salam lalu memanggil aku. “Khamis, mak kau datang nak jumpa kau”. Lalu, aku bergegas ke kantin untuk pergi berjumpa mak ketika itu. Perasaan aku ketika itu sudah bercampur baur.

”Tak mungkin ada berita gembira, mesti ada sesuatu ni”. Ucap aku di dalam hati. Bila aku terlihat mak dari jauh, aku lihat matanya kemerahan seperti sedang menangis.

“Ah sudah”, aku sepertinya berdebar debar ketika berjalan menghampiri mak. Sedang aku berjalan menghampiri mak, terlihat adik aku juga berjalan ke arah yang sama menuju ke mak.

Sesudah sampai, aku terus bertanya. ” Kenapa ni mak? Kenapa mak menangis? Kenapa?”. Dengan penuh sugul, mak menjawab, “Kak ma dah tiada, kak irah dan kakak sedang koma bertarung nyawa”.

Untuk pengetahun pembaca, Kak ma dan kak irah adalah sepupu aku dan kakak adalah kakak aku sendiri. Aku terus terduduk. Terdiam apabila mak memberitahu berita yang sungguh mendukacitakan tidak disangka langsung.

Hati ini sudah hancur, mataku merah dan tidak mampu menutur satu perkataan sekalipun. “Allahuakbar, kenapa jadi macam ni mak?”. Lantas mak menjawab, “mereka lemas masa mandi di air terjun.

Kak ma, kak irah, kak ani dan kakak lemas masa mandi air terjun. Kak ma sudah tiada, kak irah dan kakak ketika itu kritikal dan kak ngah sempat diselamatkan oleh ayah long”.

MasyaAllah, aku sepertinya sudah hilang arah ketika itu. Lalu, mak menyuruh aku untuk masuk ke dalam kereta untuk bergegas ke hospital. Hospital tersebut jauh dari tempat aku, memakan masa lebih kurang 1 jam 15 minit.

Ketika dalam perjalanan untuk ke hospital, aku teringat kembali momen malam sebelum mereka memulakan percutian singkat iaitu pada isnin malam di rumah makcik aku di sebelah Pantai Timur.

“Asu, tolong buatkan air milo untuk kakak, milo nak tabur kat atas ye.” Mintanya. “Ahhh, buat lah sendiri, asu banyak kerja sekolah nak buat”. Tegasku.

Itulah permintaan terakhirnya yang aku tidak tunaikan langsung. Kakak terus merajuk pada malam tersebut.

Pagi sebelum aku ke sekolah, kakak ada minta maaf dengan aku atas dosa yang dia telah lakukan. Dan saat itu juga, di menghulurkan kedua dua belah tangannya untuk berpeluk sebelum aku ke sekolah. Terasa hangat pelukannya yang terasa hingga ke tulang hitam.

“Kring,kring,kring”. Bunyi deringan telefon menyentak aku dari lamunan. Panggilan dari CikTi, makcik aku. “Kak irah sudah tiada”. Semua tersentak.

Adik Kak Irah berada di sebelah aku cuba menenangkan diri dan perlahan lahan air matanya mengalir basah di pipi. Suara tidak kedengaran, mata tidak terbuka. Namun air matanya mengalir setitis setitis mengenangkan kakaknya yang sudah meninggal dunia.

Aku tidak mampu bayangkan bagaimana hidup tanpa mereka yang menjadi penyeri di dalam keluarga besar kami. Aku tidak mampu menahan air mata, sebak di dada hanya Allah sahaja yang tahu.

Seusai tiba di hospital, aku terus berlari masuk ke dalam wad tanpa menghiraukan sesiapa. Aku mencari sekujur tubuh yang sedang bertarung nyawa.

Setelah membelek beberapa katil, aku melihat satu katil dilindungi dengan kain langsir. Kaki aku kaku untuk menjejakkan ke sana, tangan aku ketar, air mata aku berjurai. Namun aku gagahkan jua ke katil tersebut.

Aku membelek langsir, lalu aku kaku. Ya, itulah kakak aku. Doktor melakukan CPR, namun tiada respon.

Aku ke telinga kakak. “Kakak, kakak kuat. Khamis tahu kakak kuat, Khamis rindu kakak, air milo kakak Khamis tak sempat buat pun lagi. Bangun la kakak, Khamis janji Khamis akan tunaikan segala permintaan kakak lepasni”. Ujarku dengan sebak.

Air mata kakak mengalir di pipi, aku tahu kakak dengar. Dan aku terus memberi semangat dan bercerita dengannya walaupun dia tidak membuka mata.

Sedang dia bertarung nyawa, terus aku azan dengan nada yang paling pilu dan hampir semua orang yang berada di dalam wad tersebut sebak dan mengalirkan air mata.

Setelah beberapa detik berlalu, aku pergi keluar seketika untuk menenangkan keadaan. Aku menjawab beberapa panggilan dari saudara mara, guru guru dan kawan kawan kakak.

Semuanya tidak percaya akan peristiwa yang memilukan ini. Beberapa minit kemudian, mak berjalan ke arah aku dengan tidak bermaya.

“Khamis, Kakak dah tiada. Khamis bersabar ya”. Katanya dengan nada yang sebak. Aku tersentak. Tiada apa apa kata yang mampu aku ungkapkan.

Terasa seperti dunia ini malap, dan tiada sinar. Aku menangis semahunya. Aku peluk mak dengan erat dan menangis.

Allahuakbar, ya Allah, mengapa kau uji kami begini? Mengapa aku kehilangan 3 insan yang aku sayangi? Mengapa perpisahan seperti ini perlu berlaku? Mengapa dalam dia yang aku sayangi, kau angkat dia pergi?

Dengan hati yang hiba, aku melangkah jua ke dalam wad kembali dan melihat satu jasad yang rohnya sudah ditarik oleh Tuhan terbaring di atas katil.

Reaksi Warganet

Faridah Mat Dan –
Memang sedih bila hilang yang tersayang. Saya kehilangan nenek, abah, adik dan anak saudara dalam selang masa tak sampai 2 tahun.

Esok genap 4 tahun pemergian aruwah adik. Dia lagi sihat dan fit dari saya. Sungguh tak sangka dia yang pergi dulu.

Safira Aida –
Sedih nya. Saya pulak menanggis.. Al fatihah. Semoga aruwah ditempat kan di kalangan orang beriman.. Dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali. Sesungguhnya semua ni hanya lah, pinjaman sementara .

Nur Cahaya –
Takziah confessor. Semoga tabah melalui ujian ini. Memang sakit sangat kehilangan ahli keluarga sendiri. Makan masa untuk terima kehilangan tu. Semoga kuat dan terus kuat demi mak dan adik beradik yang lain

Airis Rizmaya –
Aruwah mak saya meninggal 1jam selepas kami bersembang melalui panggilan hp. Suara dia yang ceria seperti selalu sedikit pun tidak terdetik di hati saya. Hari itu ada lah hari terakhir saya mendengar suara mak. Sumber – Khamis (Bukan nama sebenar) via IIUMC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *